Jumat, 17 April 2020

Kampung Di Pulau Ubin



Kisah Rumah Kampung Di Pulau Ubin (Kisah Seram)
Di sini saya ingin memohon maaf dahulu kerana nama-nama yang tertera di dalam cerita ini semuanya hanyalah nama samaran. Nama saya Azam dan tanpa membuang waktu, saya ingin menceritakan  apa yang berlaku pada saya dan empat orang kawan ketika kami di bangku sekolah menengah lima belas tahun lalu.

Kisahnya begini, saya, Rahmat, Izatt, Fahmy, dan Hirman memang akrab, ada yang sampai menggelarkan kami seperti adik-beradik. Peristiwa yang kami mengalami berlaku pada waktu cuti sekolah akhir tahun, ketika itu fikiran kami buntu tidak tahu apa yang hendak kami lakukan
dengan masa yang ada pada kami.


Tiba-tiba salah seorang dari kami "Rahmat" teringat, bahawa bapanya ada mempunyai sebuah rumah kampung peninggalan arwah datuknya di Pulau Ubin, lalu dia menyarankan kami bermalam selama 2-3 hari di rumah itu. Kami berlima berangkat ke Ubin setelah segala persiapan telah kami sediakan. Setibanya kami di Ubin, kami terpaksa berjalan kaki sekitar setengah jam ke rumah itu, hinggalah kami sampai ke rumah peninggalan arwah datuk Rahmat. Di halaman rumah itu, ada sebuah pohon rendang yang diikat buaian, Izatt nampak saja buaian itu, terus berlari dan bermain di buaian itu. Rahmat menegur "Ijat jangan main buaian itu, kan bapa aku dah pesan. Sudah, turun!!!"

Malam itu, ada beberapa perkara yang menyeramkan berlaku pada kami, sedang saya, Rahmat dan Izatt berada di dapur menyiapkan makan malam untuk kami berlima, tiba-tiba saja Fahmy menegur,"Ehh Ijatt kau buat apa kat dapur, tadi aku nampak kau kat depan, macamana kau boleh ada kat dapur??? Muka kami bertiga pucat lesi mendengar teguran Fahmy, kerana dari senja lagi si Izatt ada bersama kami, kami mula rasa ada yang tak kena dengan teguran tadi. Tetapi untuk menenangkan suasana, kami tidak berkata apa dan mula buat bodoh atas teguran Fahmy tadi. Selepas makan malam, dalam pukul 10, kami berlima berehat di ambin rumah, sambil mendengar si Hirman memetik gitarnya, kami rilek sambil menghisap rokok, sambil bermenung ke daerah halaman.

Nak tahu apa yang berlaku, kami berlima terdengar suara seorang gadis sedang bernyanyi alunan lagu yang aneh, lagu mendayu-dayu memanggil kami untuk melihat dari mana arah nyanyian itu. Terperanjat dibuatnya bila kami ternampak di buaian di mana si Izatt bermain tadi, ada susuk badan seorang wanita berbaju putih sedang bermain buaian itu, sambil bernyanyi, tiba-tiba dia berhenti menyanyi lalu menegur, "Ehhhh ada orang lihat aku????" Perlahan-lahan dia menoleh ke arah kami, serta-merta bulu roma meremang. Kami dengan pantas terus masuk ke rumah, tutup pintu, kami duduk rapat2. Kami terdengar hilaian ketawa dan tangisan tak henti-henti, bunyi pintu kami dicakar, bumbung rumah seperti ada benda berjalan di atas. Macam nak rak dibuatnya, apa yang kami tahu kami baca, terkumat-kamit kami baca, hinggalah kami tertidur dalam keadaan begitu.

Keesokan hari, tanpa membuang masa, kami angkat barang-barang kami terus pulang ke rumah masing-masing. Sampai sekarang kami tidak dapat lupa peristiwa itu, dan kami ada tertanya-tanya sebab kami diganggu dengan Cik Kak pada malam itu. Mungkin kerana Izatt telah menganggu tempat permainannya??? Ataupun kerana rumah peninggalan Datuk Rahmat telah lama tidak dihuni orang??? Wallahu'alam...